Penguasaan
kemahiran lisan memainkan peranan penting sama ada dalam situasi formal atau
tidak formal. Namun begitu, kita sering disogokkan dengan pelbagai berita
mengenai terdapatnya isu pelajar yang lemah dalam berbahasa. Menurut Chew
Fong Peng dan Abdul Jalil Othman (2008) dalam kajian ke atas 120
pelajar sekolah menengah di tiga buah sekolah di Kuala Lumpur, tahap pencapaian
pelajar dalam kemahiran bertutur hanya pada peringkat sederhana sahaja.
Punca yang menyebabkan kemahiran
berkomunikasi terabai dalam kajian ini berdasarkan persepsi guru adalah disebabkan
oleh ramai pelajar tidak suka memberi pendapat secara lisan semasa proses
pengajaran dan pembelajaran berlangsung di dalam kelas, iaitu sebanyak 97.4%.
Data ini menunjukkan bahawa faktor pelajar itu sendiri yang tidak mahu berusaha
mempertingkat kemahiran bertutur mereka.
Situasi ini pasti akan mempengaruhi
masa depan mereka apabila hendak memohon satu-satu pekerjaan kelak. Buktinya,
Pengarah JobsMalaysia, Encik Rahmat Ismail berkata kepada Berita Harian yang
bertarikh 20 Disember 2010 sebahagian lepasan IPT mempunyai beberapa kelemahan
seperti berkomunikasi dan menyebabkan mereka sukar mendapat pekerjaan. Tidak
hairanlah isu pengangguran dalam kalangan lepasan mahasiswa masih berleluasa
hingga kini.
Namun begitu, berdasarkan persepsi
pelajar yang terdapat dalam kajian Chew Fong Peng dan Abdul Jalil Othman (2008)
pula mendapati bahawa mereka dikatakan diperuntukkan masa yang terhad oleh guru
untuk bertutur dalam Bahasa Melayu di dalam kelas, iaitu sebanyak 60.8%. Hal
ini disebabkan oleh masalah hambatan peperiksaan. Aspek lisan tidak diberi
perhatian sepenuhnya kerana guru-guru bahasa lebih mengutamakan pengajaran yang
berkiblatkan peperiksaan (Kamarudin Hj.Husin,1999). Kemahiran bertutur yang
langsung tidak diuji dalam peperiksaan awam menyebabkan guru mengabaikan
kemahiran tersebut untuk diajar di dalam kelas berbanding dengan kemahiran
menulis dan pemahaman.
Senario inilah yang menyebabkan
pelajar tidak berupaya untuk memberi pendapat secara lisan, tidak menguasai
kebolehan bertutur secara spontan dan tidak boleh mengaplikasikan aspek-aspek
dalam komunikasi sewaktu bertutur dengan orang lain, sedangkan kemahiran ini
adalah kemahiran yang sangat penting dalam perkembangan personaliti, sosial,
bahasa dan mental pelajar.