Thursday 9 May 2013

Senario Komunikasi


Penguasaan kemahiran lisan memainkan peranan penting sama ada dalam situasi formal atau tidak formal. Namun begitu, kita sering disogokkan dengan pelbagai berita mengenai terdapatnya isu pelajar yang lemah dalam berbahasa. Menurut Chew Fong Peng dan Abdul Jalil Othman (2008) dalam kajian ke atas 120 pelajar sekolah menengah di tiga buah sekolah di Kuala Lumpur, tahap pencapaian pelajar dalam kemahiran bertutur hanya pada peringkat sederhana sahaja.

Punca yang menyebabkan kemahiran berkomunikasi terabai dalam kajian ini berdasarkan persepsi guru adalah disebabkan oleh ramai pelajar tidak suka memberi pendapat secara lisan semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung di dalam kelas, iaitu sebanyak 97.4%. Data ini menunjukkan bahawa faktor pelajar itu sendiri yang tidak mahu berusaha mempertingkat kemahiran bertutur mereka.

Situasi ini pasti akan mempengaruhi masa depan mereka apabila hendak memohon satu-satu pekerjaan kelak. Buktinya, Pengarah JobsMalaysia, Encik Rahmat Ismail berkata kepada Berita Harian yang bertarikh 20 Disember 2010 sebahagian lepasan IPT mempunyai beberapa kelemahan seperti berkomunikasi dan menyebabkan mereka sukar mendapat pekerjaan. Tidak hairanlah isu pengangguran dalam kalangan lepasan mahasiswa masih berleluasa hingga kini.

Namun begitu, berdasarkan persepsi pelajar yang terdapat dalam kajian Chew Fong Peng dan Abdul Jalil Othman (2008) pula mendapati bahawa mereka dikatakan diperuntukkan masa yang terhad oleh guru untuk bertutur dalam Bahasa Melayu di dalam kelas, iaitu sebanyak 60.8%. Hal ini disebabkan oleh masalah hambatan peperiksaan. Aspek lisan tidak diberi perhatian sepenuhnya kerana guru-guru bahasa lebih mengutamakan pengajaran yang berkiblatkan peperiksaan (Kamarudin Hj.Husin,1999). Kemahiran bertutur yang langsung tidak diuji dalam peperiksaan awam menyebabkan guru mengabaikan kemahiran tersebut untuk diajar di dalam kelas berbanding dengan kemahiran menulis dan pemahaman.

Senario inilah yang menyebabkan pelajar tidak berupaya untuk memberi pendapat secara lisan, tidak menguasai kebolehan bertutur secara spontan dan tidak boleh mengaplikasikan aspek-aspek dalam komunikasi sewaktu bertutur dengan orang lain, sedangkan kemahiran ini adalah kemahiran yang sangat penting dalam perkembangan personaliti, sosial, bahasa dan mental pelajar.          

No comments:

Post a Comment