Refleksi


REFLEKSI KAJIAN

Sebelum diperkenalkan dengan model 3SMP, para pelajar didapati kebanyakannya tidak mampu untuk bertutur di hadapan kelas. Mereka juga segan untuk melakukan pembentangan kerana mereka kurang dilatih untuk bercakap di hadapan kelas sebelum ini. Perasaan tidak yakin, gugup dan gementar sentiasa menguasai diri apabila guru meminta mereka untuk bercakap di hadapan rakan-rakan. Perasaan tersebut menyebabkan mereka tidak berani untuk keluar ke hadapan kelas dan bercakap di hadapan rakan mereka sendiri. Hal ini terbukti apabila hanya sembilan orang sahaja daripada 18 orang pelajar SMK Sri Tapah yang berkeyakinan untuk bercakap di hadapan kelas. Namun begitu, setelah mereka didedahkan dengan model 3SMP, perubahan positif telah ditunjukkan oleh para pelajar apabila analisis data mendapati 11 orang pelajar berkeyakinan untuk bercakap di hadapan kelas. Angka ini melebihi separuh daripada jumlah pelajar iaitu sebanyak 61.1%. Para pelajar telah didedahkan dengan ciri-ciri penutur yang baik sebanyak dua kali pengajaran dan mereka dikehendaki untuk mempraktikkan semula ciri-ciri tersebut semasa melaksanakan aktiviti di dalam kelas. Selain itu, pengajaran secara koperatif yang telah dilaksanakan oleh guru di dalam kelas secara tidak langsung sedikit sebanyak membantu untuk membina keyakinan dan keberanian pelajar untuk bercakap di hadapan kelas. Guru yang sering melaksanakan teknik pengajaran sebegini telah melatih pelajarnya untuk membiasakan diri bercakap di hadapan kelas sekali gus mempraktikkan ciri-ciri penutur yang baik daripada model 3SMP.
Model 3SMP didapati kurang berkesan bagi komunikasi antara dua pihak kerana dapatan data menunjukkan keputusan yang tidak begitu menggalakkan. Komunikasi antara dua pihak melibatkan penutur dan pendengar. Namun begitu, dapatan data menunjukkan penurunan daripada soal selidik pra dan soal selidik pasca. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa model ini kurang berkesan bagi aspek penutur bersama pendengar kerana pelajar tidak mampu berkomunikasi antara satu sama lain untuk mencapai keputusan. Bagi soal selidik pra, seramai sembilan orang (50%) dari SMK Sri Tapah dan tujuh orang (53.8%) dari SMK Tapah yang mampu untuk berkomunikasi dengan rakan mereka untuk mencapai keputusan. Setelah soal selidik pasca dilaksanakan, angka tersebut menurun bagi kedua-dua sampel dari SMK Sri Tapah dan SMK Tapah iaitu kepada 38.9% dan 38.5%, iaitu masing-masing seramai tujuh dan lima orang pelajar.

Bagi aspek mesej yang terdapat dalam model 3SMP pula menunjukkan perubahan yang positif. Data bagi soal selidik pasca menunjukkan bahawa para pelajar mampu untuk memberi dan mengutarakan idea yang bernas di dalam kelas. Sebelum mereka didedahkan dengan model ini, hanya lima orang pelajar sahaja (27.8%) dari SMK Sri Tapah dan dua orang (15.41%) dari SMK Tapah yang mampu untuk mengutarakan mesej atau idea yang bernas. Setelah model ini didedahkan kepada mereka, angka dari SMK Tapah telah meningkat kepada enam orang pelajar (46.2%) dan kekal bagi SMK Sri Tapah. Maklum balas daripada dapatan data ini menunjukkan bahawa pelajar sudah dapat mempraktikkan ciri-ciri mesej yang baik dalam model 3SMP sewaktu mereka mengutarakan idea di dalam kelas.

Bagi aktiviti berforum pula didapati masih ramai pelajar yang tidak pasti tentang minat mereka dalam aktiviti berforum. Hanya tiga orang pelajar sahaja dari SMK Sri Tapah dan SMK Tapah berminat dengan aktiviti ini daripada dapatan data dalam soal selidik pasca. Walaupun mereka sudah didedahkan dengan model 3SMP, namun minat pelajar dalam aktiviti berforum masih tidak begitu memuaskan. Mereka mungkin boleh menerapkan model 3SMP dalam aktiviti pembentangan kerja berkumpulan di dalam kelas namun model ini tidak mampu mereka praktikkan sepenuhnya untuk aktiviti berforum. Angka untuk skala tidak pasti begitu tinggi berbanding skala setuju yang membuktikan bahawa mereka masih tidak pasti sama ada mereka berminat atau tidak dengan aktiviti ini walaupun sudah didedahkan dengan model 3SMP di dalam kelas.

No comments:

Post a Comment