Pengisian Model

MODEL 3SMP




S : Sumber

Unsur sumber wujud dari diri pengucap. Pengucap adalah seseorang yang mempunyai mesej tertentu yang hendak disampaikan kepada pendengarnya. Pengucap akan berusaha sedaya upaya menyampaikan maksudnya supaya ianya diterima dan difahami dalam bentuk pemahaman yang dihasratkan. Di sinilah perlunya kemahiran menganalisis pendengar kerana pengucap perlu menterjemahkan maksud yang hendak disampaikan dengan menggunakan gaya bahasa yang mudah difahami oleh pendengar. Proses ini dikenali sebagai pengkodan di mana pengucap berusaha mencari cara dan gaya bahasa yang paling sesuai digunakan supaya pendengar faham apa yang dimaksudkan (Sallehuddin Mohd. Noor et. al. 2003:16).

Dalam kajian yang akan dijalankan ini, pelajar akan diterapkan nilai-nilai keyakinan diri dan keberanian dalam menyampaikan sesuatu ucapan atau berforum. Pelajar akan dilatih untuk membina keyakinan dan keberanian untuk berucap di hadapan khalayak supaya dapat berinteraksi bersama individu atau masyarakat kelak. Pelajar akan diterapkan juga laras-laras bahasa yang bersesuaian dan gaya bahasa serta intonasi yang sesuai ketika berucap. Unsur-unsur ini akan diterapkan dalam aktiviti yang terdiri daripada pelbagai bentuk, jenis dan konsep sewaktu menjalani proses pembelajaran-pengajaran nanti. Pelajar juga akan diberikan pendedahan dan akan mempraktikkan perkara-perkara yang perlu ada pada diri seorang pengucap dan bersedia menghadapi situasi sebagai seorang pengucap dari pelbagai sudut dan perkara. Sebagai contoh persediaan-persediaan yang perlu dilakukan oleh seorang pengucap sebelum mengaplikasikan ucapan yang sebenar. Bagi membina kualiti tinggi dalam diri pengucap, pelajar akan diasuh dan dididik agar dapat memberikan komitmen yang tinggi dalam tugas atau tajuk yang bersesuaian dengan perbincangan forum yang akan dilaksanakan kelak.

Sebagai pengucap juga bertugas untuk memberi maklum balas ketika berforum. Hal ini kerana berforum adalah pengucapan awam yang jenisnya melakukan perbincangan yang melibatkan beberapa individu dan terdapat komunikasi pelbagai hala iaitu komunikasi antara ahli panel dan komunikasi antara ahli panel dengan penonton atau khalayak. Oleh itu dalam diri setiap panel atau pengucap perlu juga unsur maklum balas yang diterapkan dalam diri mereka. Maklum balas ialah reaksi pendengar kepada mesej yang dihantar oleh pengucap. Maklum balas diterima dalam bentuk lisan dan bukan lisan, sama seperti mesej daripada pengucap kepada pendengar. Pengucap yang sedang menyampaikan ucapannya boleh secara langsung mendapatkan maklum balas spontan dengan melihat dan memerhatikan reaksi pendengar terhadap ucapan yang disampaikannya. Keadaan pendengar yang resah gelisah, bising atau sering bangun duduk menggambarkan bahawa mereka tidak berminat dengan apa yang disampaikan. Sementara situasi pendengar yang hening, pandangan mata yang tertumpu kepada pengucap, mulut yang sedikit ternganga menggambarkan kesungguhan mereka mendengar dan begitu berminat dengan apa yang disampaikan (Sallehuddin Mohd. Noor et. al., 2003:20).

Maklum balas penting dalam proses pengucapan awam terutama pengucap itu sendiri. Respon dari pendengar boleh mengubah rasa keyakinan pengucap. Sekiranya pengucap merupakan orang baharu yang kurang berpengalaman dalam penyampaiannya, rasa gugup dan bimbang begitu tinggi pada permulaan pengucapannya. Maklum balas tanpa lisan yang ditunjukkan oleh pendengar seperti menganggukkan kepala, pandangan simpati dan senyuman membantu menambah rasa yakin pengucap dan membantu kelancaran penyampaiannya. Sebaliknya, maklum balas yang negatif seperti ejekan, pandangan yang tidak membantu dan kegelisahan pendengar meningkatkan lagi kegugupan pengucap dan ia boleh mengganggu proses penyampaian selanjutnya (Sallehuddin Mohd. Noor et. al., 2003:200).

Dalam situasi sebenar, maklum balas adalah elemen yang paling utama dalam memastikan mesej yang hendak disampaikan diterima dan difahami oleh kumpulan sasaran sama seperti maksud yang dimengertikan oleh penyampai. Jika ini berlaku, barulah proses komunikasi itu dikatakan efektif. Maklum balas juga boleh digunakan bagi mendapatkan pengesahan semula sesuatu maklumat dan memastikan bahawa kandungan mesej difahami seperti yang dimaksudkan oleh penyampai (Sallehuddin Mohd. Noor et. al., 2003:20).

Unsur maklum balas juga tidak hanya terbatas kepada respon penonton atau pendengar tetapi cara bagaimana pengucap sendiri untuk memberi maklum balas kepada panel lain atau penonton sendiri. Dalam berforum, pengucap kebiasaannya terdiri daripada beberapa orang panel atau pengucap. Antara ahli panel ini turut akan berkongsi idea, menceritakan tajuk dan memfokuskan hal-hal tentang perkara yang sama, Oleh itu, antara ahli panel ini haruslah saling boleh memberikan maklum balas antara satu sama lain kerana setiap panel juga tetap menjadi pendengar. Sewaktu seorang panel berucap, panel lain akan memerhati, akan mendengar dengan teliti dan memberikan maklum balas positif agar mungkin boleh menambah fakta atau maklumat tambahan sebagai pengetahuan tambahan kepada penonton dan ahli panel itu sendiri. Maka, sewaktu sesi pembelajaran dan pengajaran dijalankan, pelajar akan dilatih untuk memberikan respon atau maklum balas yang positif sama ada kepada penonton atau ahli panel yang lain sebagai tanda sokongan menjawab pertanyaan-pertanyaan yang akan diajukan dalam sesi soal jawab.

Berdasarkan kepada elemen-elemen yang perlu ada dalam unsur sumber iaitu kemahiran komunikasi, sikap, pengetahuan, sistem sosial dan budaya dapatlah disimpulkan bahawa pengucap akan mempunyai potensi besar untuk menjadi pengucap atau ahli panel yang berkeyakinan tinggi dan berupaya menyampaikan ucapan dengan baik. Hal ini kerana pelajar-pelajar yang akan menjadi sampel untuk menguji keberkesanan model ini akan memberi kesan yang positif dari segi menyampaikan ucapan dan idea.

S : Saluran

Menurut Sallehuddin Mohd. Noor et. al. (2003: 19), mesej yang dihantar oleh pengucap kepada pendengar memerlukan satu media penghubung yang dinamakan saluran. Contoh saluran biasa adalah seperti radio, televisyen, alat pembesar suara, buku, kertas bercetak, surat siaran dan yang lain-lain sepertinya. Saluran ini penting kerana ia adalah untuk menyampaikan mesej itu secara terbuka kepada penerimanya. Sekiranya alat ini gagal digunakan dengan sepenuhnya, mesej tidak akan sampai kepada kumpulan sasaran yang ditujukan yang boleh mengakibatkan matlamat sesuatu tindakan itu tidak berjaya diperolehi.

Untuk memastikan mesej sampai kepada kumpulan sasaran dengan betul dan cepat, saluran yang sesuai perlu digunakan agar matlamat kita tercapai. Adakalanya saluran yang digunakan itu perlu digandakan bagi memastikan mesej betul-betul sampai kepada kumpulan sasaran. Contohnya, walaupun ada ceramah yang disampaikan mengenai sesuatu perkembangan terbaru seperti wabak penyakit atau yang sepertinya, penggunaan kertas penjelasan, gambar-gambar risalah penerangan perlu juga diedarkan bagi memudahkan mesej itu diterima oleh pendengar. Pendekatan yang menggunakan lebih daripada satu saluran ini selalu digunakan bagi menyampaikan mesej-mesej yang betul-betul penting yang melibatkan ramai orang dan memastikan mesej tersebut tidak disalahertikan penerimaannya oleh masyarakat atau kumpulan sasaran yang ditujukan. Saluran-saluran yang digunakan seperti edaran bahan maklumat ini amat sesuai digunakan dalam sesi berforum yang kebiasaannya akan membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan isu-isu semasa dan pelbagai isu yang tiada had perkaranya. Secara tidak langsung, dalam kajian yang dijalankan ini dengan menggunakan unsur saluran, pelajar akan diterapkan dengan penggunaan bahan-bahan yang dapat membantu ketika menjalankan sesi berforum sewaktu sesi pembelajaran-pengajaran (Sallehuddun Mohd. Noor et. al., 2003: 19).

Bukan itu sahaja, media elektronik seperti radio dan televisyen juga merupakan saluran dalam berkomunikasi yang mudah dan cepat untuk menghantar mesej. Bagi memastikan keberkesanannya, mesej itu perlu diulang dalam media cetak yang lain bagi ianya betul-betul sampai kepada penerima. Di sinilah pentingnya akhbar sebagai saluran. Edaran akhbar bukan sahaja menyeluruh, tetapi mesej yang bercetak itu mempunyai kemungkinan besar disimpan dan diulangbaca oleh kumpulan sasaran. Peranan akhbar sebagai penyampai berita penyambung cerita perlu dimanfaatkan sepenuhnya jika mahu memastikan mesej yang dikehendaki betul-betul sampai kepada sasaran. Semakan semula dengan cara mendapatkan maklum balas adalah langkah yang baik dan boleh dilakukan untuk menyemak dan memastikan mesej yang hendak disampaikan diterima dan difahami oleh penerima seperti yang diharapkan. Mengulang semula mesej sebenar juga merupakan satu langkah yang baik dalam memastikan mesej diterima dengan betul (Sallehuddun Mohd. Noor, 2003: 19).

S : Simulasi


Menurut Kamarudin Basir (1996), simulasi merupakan satu situasi yang diwujudkan hampir menyerupai keadaan sebenar. Unsur simulasi ini akan diterapkan kepada pelajar dengan diajar atau dididik dengan kaedah berforum seperti dalam situasi sebenar. Pelajar akan diajar langkah demi langkah teknik berforum daripada awal permulaan sehingga tamat sesi perbincangan. Dalam berforum, setiap ahli panel terdiri sebagai pengucap dan penerima. Oleh itu, setiap diri pelajar akan diterapkan setiap nilai dan aspek yang perlu ada dalam diri setiap pengucap awam. Contohnya keyakinan dan keberanian diri perlu ada dalam setiap diri pengucap awam bagi memberi keyakinan kepada pendengar dan khlayak untuk meyakinkan usul atau hal-hal yang dibicarakan sewaktu sesi forum atau perbincangan dijalankan. Perkara-perkara yang telah diajarkan kepada pelajar seperti persediaan dalam unsur mesej, unsur sebagai penerima dan pendengar, maklum balas, situasi, saluran dan sebagainya akan diaplikasikan sewaktu simulasi berforum ini. Sewaktu inilah pelajar akan mengeluarkan dan mengaplikasikan perkara-perkara yang telah diajar semasa sesi pembelajaran-pengajaran dijalankan

M : Mesej

Menurut Sallehuddin Mohd. Noor et. al. (2003), mesej adalah simbol-simbol lisan dan bukan lisan yang secara sedar atau tidak sedar dihantar oleh seorang pengucap kepada pendengar bagi menyampaikan sesuatu maksud. Pendengar biasanya lebih prihatin kepada mesej bukan lisan yang dipamerkan oleh pengucap. Walaupun mesej dalam ucapan itu penting, tetapi naluri biasa pendengar akan lebih tertarik kepada mesej sampingan yang wujud di celah-celah pendengaran mereka.

Dalam aspek ini penampilan diri pengucap semasa membuat pengucapan awam kelihatan penting kerana mesej yang hendak disampaikan itu tidak terganggu proses penerimaannya oleh mesej-mesej lain yang cuba ditonjolkan bersama semasa pengucap menyampaikan ucapannya. Pendengar bukan sahaja memerhatikan pengucap berucap tetapi turut memerhatikan apa yang pengucap lakukan seperti gerak laku dan perbuatan. Pakaian yang dipakai, perhiasan yang digunakan, sehinggakan fail atau beg yang digunakan juga menjadi perhatian pendengar. Dalam pembelajaran-pengajaran pula, pelajar akan ditekankan tentang persediaan sebelum berucap iaitu dari segi tajuk, mengetahui batasan dan skop, isi dan bahan ucapan, dan bantuan visual atau bantuan sokongan. Hal ini saling berkaitan dengan mesej yang hendak disampaikan oleh pengucap kepada pendengar. Pengucap perlu mengetahui batasan dan skop sehingga takat atau paras bahagian mana sahaja yang perlu disentuh atau tidak perlu disentuh. Pelajar perlu tahu bagaimana untuk mengawal diri ketika berucap atau berforum agar tidak menyentuh mana-mana pihak atau melakukan perkara secara berlebihan daripada yang sepatutnya (Sallehuddin Mohd. Noor et. al., 2003:18).

Nada suara juga memainkan peranan penting dalam penerimaan mesej ini. Tinggi rendah suara, keras dan lembutnya nada membayangkan maksud yang diucapkan sekaligus menekankan mesej yang hendak disampaikan. Oleh yang demikian perhatian perlu diberikan aspek ini kerana nada suara perlu seragam dengan maksud bagi menunjukkan kesungguhan dan kepastian mesej itu diterima dengan betul dan difahami sama seperti maksud yang disampaikan. Contohnya, pelajar akan ditekankan berkaitan dengan penggunaan nada suara bagi kenyataan-kenyataan penting yang bersesuaian dengan situasi semasa mereka berforum. Andai kata mereka berforum di sekolah yang bertajuk tentang masalah gengsterisme atau masalah buli di sekolah di hadapan khalayak pelajar sekolah, mereka perlu menekankan nada mereka untuk memberi peringatan supaya tidak ada pelajar sekolah tersebut yang mengamalkan gejala negatif seperti sedemikian. Pelbagai lagi aktiviti yang boleh dilakukan dalam sesi pembelajaran-pengajaran bagi melatih pelajar berkaitan dengan intonasi dan nada suara berdasarkan situasi berforum sebenar yang sesuai (Sallehuddin Mohd. Noor et. al., 2003:18).

P : Penerima

Menurut Sallehuddin Mohd. Noor  et. al. (2003), pendengar merupakan penerima mesej yang dihantar oleh pengucap. Peranan utama pendengar ialah mentafsirkan mesej dan memberi maklum balasnya dalam bentuk lisan atau tanpa lisan. Pendengar bukan sahaja mendengar apa yang diucapkan tetapi juga memerhati dengan teliti si penyampai dan bagaimana ucapan itu disampaikan. Di sinilah pentingnya bahasa gerak badan itu. Mesej bukan sahaja diterima melalui apa yang didengar tetapi apa juga yang dilihat oleh pendengar. Perlu diketahui bahawa pengucap boleh mengganggu proses mendengar dan penerimaan mesej dengan penampilan dan gaya diri yang kurang sesuai.

Semasa pengucap menyampaikan ucapan, tumpuan dan perhatian semua pendengar akan berpusat seketika kepada pengucap tersebut. Sebelum sempat pengucap menyampaikan ucapannya, pendengar telah terlebih dahulu melihat, merenung dan memerhati pengucap dari segenap aspek. Pakaian yang dipakai, hiasan yang digunakan, warna pakaian, persolekan dan apa sahaja yang ada pada pengucap menjadi perhatian pendengar. Mereka bukan sahaja melihat tetapi juga membuat tafsiran dan andaian sendiri kepada apa yang dilihat. Apabila pengucap mula berkata-kata, tumpuan pendengar akan beralih kepada perkataan yang diucapkan dan bagaimana ia diucapkan. Keseragaman antara nada suara, mimik muka, tumpuan pandangan mata dan cara bercakap turut menjadi perhatian. Semua proses yang terlibat itu penting bagi pendengar untuk membolehkan mereka menjadi pendengar yang efektif (Sallehuddin Mohd. Noor et. al, 2003).

Menjadi pendengar bukan hanya terletak kepada penonton sahaja. Perlu diingatkan bahawa ahli panel juga terdiri daripada pendengar. Hal ini kerana ahli panel sendiri akan mendengar dan memberi maklum balas terhadap perkara yang disampaikan oleh pengucap yang lain. Oleh itu, sewaktu sesi pembelajaran-pengajaran, pelajar akan dilatih untuk menjadi pendengar dan pengucap yang efektif sejajar dengan mesej yang hendak disampaikan sewaktu menjalankan sesi berforum.




No comments:

Post a Comment