Dapatan Kajian


Pelaksanaan Model 3SMP telah didedahkan kepada pelajar-pelajar di SMK Sri Tapah dan SMK Tapah. Seramai 18 orang pelajar SMK Sri Tapah dan 13 orang pelajar SMK Tapah yang terlibat dalam kajian ini. Para pelajar telah diedarkan dengan borang soal selidik sebanyak dua kali, iaitu sebelum dan selepas model 3SMP diajarkan kepada mereka. Borang soal selidik ini bertujuan untuk mengetahui maklum balas pelajar terhadap keberkesanan pengajaran model 3SMP kepada mereka sekaligus bertindak sebagai data utama bagi kajian ini. Borang soal selidik ini mengandungi 16 soalan dan setiap soalan mempunyai lima pilihan yang perlu dibulatkan oleh pelajar atas lima poin skala iaitu Sangat Tidak Setuju (STS), Tidak Setuju (TS), Tidak Pasti (TP), Setuju (S) dan Sangat Setuju (SS). Berdasarkan maklum balas pelajar, analisis data telah dilakukan dengan menggunakan cara pengagihan skor. Setelah analisis dibuat daripada kutipan data, maka dapatan tersebut akan disimpulkan secara menyeluruh.

Berikut merupakan graf dan analisis data daripada graf berdasarkan borang soal selidik yang telah diberikan kepada 31 orang pelajar dari dua buah sekolah dari daerah Tapah. Terdapat analisis data yang menggabungkan dua hingga tiga graf yang disebabkan oleh soalan-soalan daripada graf tersebut mempunyai persamaan. Oleh itu, pengkaji telah menggabungkan kedua-dua graf supaya analisis data menjadi lebih tersusun dan efisien.

Graf Perbandingan 1: Soalan 1



Berdasarkan graf, aspek yang dilihat ialah keyakinan pelajar untuk bercakap di hadapan kelas. Berdasarkan aspek di atas, tahap keyakinan pelajar menunjukkan sedikit perubahan yang positif. Dalam ujian pra, didapati 0% yakni, tidak ada sampel SMK Sri Tapah mahupun SMK Tapah yang memberikan respon tidak berkeyakinan untuk bercakap di hadapan kelas. Begitu juga dengan hasil dapatan ujian pasca. Sebaliknya, dalam ujian pra seramai sembilan orang yakni, 50% sampel SMK Sri Tapah,  dan hanya enam orang yakni, 46.2% sampel SMK Tapah yang berkeyakinan untuk bercakap di hadapan kelas. Namun begitu. dalam ujian pasca terdapat peningkatan tahap keyakinan bagi sampel SMK Sri Tapah, iaitu seramai 11 orang, yakni 61.1% sampel semakin yakin untuk bercakap di hadapan kelas manakala sampel SMK Tapah masih kekal seramai enam orang, yakni 46.2%. Kesimpulan daripada dapatan ini menyokong pendapat yang disampaikan oleh Kulwindr Kaur Sindhu dalam kertas kerja Yahya Buntat dan Muhamad Shahabudin Hassan yang menyatakan bahawa terdapat pelajar yang tidak yakin dan takut untuk berucap di khalayak ramai kerana perasaan gementar serta struktur sesuatu ucapan itu yang perlu disokong oleh contoh-contoh, ilustrasi, fakta dan angka. 


Graf Perbandingan 2: Soalan 2



Graf Perbandingan 7: Soalan 7



Analisis menggabungkan fakta daripada dapatan graf bagi soalan 2 dan 7. Berdasarkan kedua-dua graf ini menunjukkan perubahan negatif. Dalam ujian pra bagi soalan 2, seramai lapan orang, yakni 44.4% sampel SMK Sri Tapah dan 61.5% sampel SMK Tapah berkemampuan untuk memberikan pendapat secara lisan. Dalam ujian pasca pula, sampel SMK Sri Tapah menunjukkan peningkatan dalam kemampuan memberikan pendapat secara lisan, iaitu seramai sepuluh orang, yakni 55.6% sampel namun, sampel SMK Tapah pula menunjukkan penurunan kepada 46.2% , iaitu hanya enam orang. Manakala dapatan bagi aspek kemampuan pelajar dalam mengutarakan pendapat yang bernas bagi soalan 7 pula didapati 0% yakni tidak ada sampel SMK Sri Tapah mahupun SMK Tapah yang memberikan respon tidak mampu untuk memberi dan mengutarakan idea yang bernas, manakala hasil dapatan ujian pasca pula hanya seorang yakni 5.6% sampel SMK Sri Tapah yang mengaku tidak mampu untuk memberi dan mengutarakan idea. Manakala respon bagi ujian pasca daripada kedua-dua sampel, iaitu SMK Sri Tapah dan SMK Tapah pula menunjukkan penurunan kepada 33.3% dan 46.2%, iaitu masing-masing seramai enam orang. Hasil dapatan ini menyokong kajian yang telah dijalankan oleh Chew Fong Peng dan Abdul Jalil Othman (2008) ke atas 120 pelajar sekolah menengah di tiga buah sekolah di Kuala Lumpur. Mereka menyatakan bahawa tahap pencapaian pelajar dalam kemahiran bertutur hanya pada peringkat sederhana sahaja. Punca yang menyebabkan kemahiran komunikasi terabai dalam kajian ini berdasarkan adalah disebabkan oleh ramai pelajar tidak suka memberikan pendapat secara lisan semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung di dalam kelas, iaitu sebanyak 97.4%. data ini menunjukkan bahawa faktor pelajar itu sendiri yang tidak mahu berusaha mempertingkat kemahiran bertutur mereka.

Graf Perbandingan 3: Soalan 3


Graf Perbandingan 4: Soalan 4

Analisis data ini menggabungkan fakta daripada dapatan graf bagi soalan 3 dan 4. Berdasarkan kedua-dua graf ini, keupayaan pelajar dilihat dari aspek pertuturan secara sopan dengan tatabahasa, intonasi dan jeda yang betul. Berdasarkan aspek di atas, keyakinan pelajar didapati menunjukkan keputusan yang negatif. Dalam ujian pra,  seramai 11 orang yakni 61.1% sampel SMK Sri Tapah dan tujuh orang yakni 53.8% sampel SMK Tapah berkemampuan untuk bertutur secara sopan dan bertatasusila. Dalam ujian pasca, sampel SMK Sri Tapah menunjukkan penurunan kepada 55.6%, iaitu hanya seramai sepuluh orang sebaliknya sampel SMK Tapah pula menunjukkan peningkatan, iaitu meningkat kepada 61.5% yakni lapan orang. Dari aspek bertutur dengan tatabahasa, intonasi, dan jeda yang betul yang terdapat dalam soalan 4 pula mendapati seramai lapan orang yakni 44.4% sampel SMK Sri Tapah dan sepuluh orang yakni 76.9% sampel SMK Tapah menyatakan bahawa mereka mampu untuk bertutur dengan tatabahasa, intonasi, dan jeda yang betul bagi ujian pra. Dalam ujian pasca, kedua-dua sampel SMK Sri Tapah dan SMK Tapah menunjukkan penurunan kepada 33.3% dan 46.2%, iaitu masing-masing berkurang kepada enam orang. Penyelidikan kami mendapati dapatan tersebut berlainan dengan kajian yang telah dilakukan oleh Noriah Taslim (2010) dalam kertas kerja Mohd. Aris bin Anis dan  Ahmad bin Esa (2012) yang menyatakan bahawa masyarakat Melayu itu sebagai manusia yang berbudaya halus, bersopan santun, sangat mementingkan adab ketika berkomunikasi, enggan bersikap biadap dan menjadikan kiasan dan perumpamaan sebagai budaya. Pertentangan keputusan ini mendapati bahawa masyarakat Melayu kini sudah kurang mengamalkan adab sopan dan bertatasusila dalam pertuturan harian mereka.

Graf Perbandingan 5: Soalan 5

Berdasarkan aspek di atas, kemampuan pelajar untuk berkomunikasi dengan rakan lain bagi mencapai keputusan amat perlu ditingkatkan. Dalam ujian pra, didapati 0% yakni tidak ada sampel SMK Sri Tapah mahupun SMK Tapah yang memberikan respon tidak mampu untuk berkomunikasi dengan rakan lain secara baik untuk mencapai keputusan. Begitu juga dengan hasil dapatan ujian pasca. Walau bagaimanapun, dalam ujian pra seramai sembilan orang yakni 50% sampel SMK Sri Tapah dan tujuh orang yakni 53.8% sampel SMK Tapah berkemampuan untuk berkomunikasi dengan rakan lain secara baik untuk mencapai keputusan. Namun begitu, dalam ujian pasca, kedua-dua sampel SMK Sri Tapah dan SMK Tapah menunjukkan penurunan kepada 38.9% dan 38.5%, iaitu masing-masing seramai tujuh dan lima orang. Walau bagaimanapun, dapatan ini telah bertentangan dengan kajian yang telah dijalankan oleh Yahya Buntat dan Muhamad Shahabudin Hassan dalam kertas kerjanya dengan menyatakan bahawa pelajar mampu untuk memulakan komunikasi dan seterusnya berkomunikasi sesama ahli kumpulan kerana mereka mempunyai tujuan yang sama iaitu menyiapkan tugasan yang diperlukan untuk keperluan kursus.

 Graf Perbandingan 6: Soalan 6


Berdasarkan graf, aspek pengalaman pelajar dalam melaksanakan aktiviti berforum ketika di dalam kelas menunjukkan perubahan positif. Dalam ujian pra, hanya seorang yakni 5.6% sampel SMK Sri Tapah yang tidak pernah melaksanakan aktiviti berforum di dalam kelas sebaliknya 0% yakni tidak ada sampel SMK Tapah yang tidak berpengalaman melaksanakan aktiviti berforum di dalam kelas. Sebaliknya, untuk hasil dapatan ujian pasca pula kedua-dua sampel sudah berpengalaman melaksanakan aktiviti berforum. Dalam ujian pra seramai tujuh orang yakni 38.9% sampel SMK Sri Tapah dan lima orang yakni 38.5% sampel SMK Tapah pernah melaksanakan aktiviti berforum di dalam kelas dan bilangan tersebut bertambah kepada 44.4% dan 61.5% dalam ujian pasca, iaitu masing-masing seramai lapan orang. Perubahan yang positif ini akan membawa sehingga ke peringkat pengajian tinggi. Hal ini disokong oleh Yahya Buntat dan Muhamad Shahabudin Hassan dalam kertas kerjanya dengan menyatakan bahawa aktiviti pembentangan merupakan aktiviti pembelajaran yang bersifat formal di universiti. Dengan adanya pengalaman berforum di dalam kelas ketika bersekolah dapat mengelakkan perasaan gugup dan takut ketika melakukan aktiviti pembentangan berbentuk forum ketika di universiti kelak.

Graf Perbandingan 8: Soalan 8


 Graf Perbandingan 9: Soalan 9


Graf Perbandingan 10: Soalan 10


Analisis ini menggabungkan maklumat berdasarkan pemerhatian terhadap minat pelajar terhadap aktiviti berpidato, berforum, dan bercerita iaitu bagi soalan soal selidik 8, 9 dan 10. Didapati bahawa tidak ada sampel SMK Sri Tapah mahupun SMK Tapah yang menunjukkan mereka sangat berminat dengan aktiviti berpidato dan berforum. Hasil dapatan ujian pasca pula menunjukkan hanya dua orang yakni 15.4% daripada sampel SMK Tapah  yang mengaku sangat berminat dengan aktiviti berpidato dan terdapat dua pelajar atau 11.1% daripada sampel SMK Sri Tapah yang mengaku bahawa mereka sangat berminat dengan aktiviti berforum. Berdasarkan pemerhatian terhadap minat pelajar terhadap aktiviti bercerita pula, didapati bahawa hanya seorang atau 5.56% daripada sampel SMK Sri Tapah yang benar-benar berminat dengan aktiviti bercerita manakala tidak ada sampel SMK Tapah yang menunjukkan mereka sangat berminat dengan aktiviti bercerita. Selepas diperkenalkan dengan model 3SMP hanya seorang atau 5.56% daripada sampel SMK Sri Tapah yang sangat tidak berminat dengan aktiviti bercerita sebaliknya tidak ada sampel SMK Tapah yang tidak berminat dengan aktiviti bercerita. Berdasarkan maklumat yang diperoleh, dapat dirumuskan bahawa model 3SMP ini menyokong pendapat Dr. Mohd Fadzilah dan Ahmad Naim (2006). Beliau mengatakan bahawa kepetahan bercakap adalah suatu bakat yang tersendiri tetapi kemahiran berkomunikasi adalah sesuatu yang perlu dipelajari. Sehubungan itu kesedaran pelajar mengenai kepentingan kemahiran komunikasi perlu disemai supaya aktiviti seperti berforum, berpidato dan bercerita akan menjadi medium pembelajaran yang efektif bagi meningkatkan keyakinan pelajar dalam mengamalkan komunikasi yang efektif.

Graf Perbandingan 11: Soalan 11


Berdasarkan graf, aspek yang dilihat ialah kekerapan pelaksanaan pertandingan forum Bahasa Melayu di sekolah. Berdasarkan aspek di atas, kekerapan pelaksanaan pertandingan forum Bahasa Melayu di sekolah perlu ditingkatkan. Ujian pra menunjukkan seramai tujuh orang yakni 38.9% sampel SMK Sri Tapah setuju sekiranya pertandingan forum kerap dilaksanakan manakala sampel SMK Tapah pula adalah sebanyak seorang pelajar yakni 7.69%. Bagi ujian pasca pula, terdapat 66.7% sampel SMK Sri Tapah, iaitu seramai 12 orang bersetuju manakala sebanyak tiga orang pelajar yakni 23.1% sampel SMK Tapah yang bersetuju untuk melaksanakan pertandingan forum dengan lebih kerap. Penyelidikan kami mendapati dapatan tersebut menyokong hasil kajian lepas yang telah dilakukan oleh Abdul Rahman Abdul Aziz (2000) dalam kertas kerja Yahya Bin Buntat & Muhamad Shahabudin Bin Hassan (2010). Kajian tersebut menyatakan bahawa kebolehan komunikasi adalah pencapaian manusia yang paling berharga kerana kebolehan ini telah membolehkan manusia berhubung antara satu dengan lain. Oleh itu, aktiviti berforum perlu dilaksanakan dengan kerap kerana aktiviti sebegini bertindak sebagai medium bagi membantu para pelajar meningkatkan keyakinan diri untuk berkomunikasi di khalayak ramai. Sehubungan itu para pelajar haruslah sedar akan kepentingan kemahiran berkomunikasi dalam kehidupan seharian dan aktiviti seperti berforum, perbincangan dalam kumpulan dan pembentangan merupakan medium untuk meningkatkan keyakinan pelajar dalam mewujudkan satu komunikasi yang efektif dan berkesan (Yahya Bin Buntat & Muhamad Shahabudin Bin Hassan, 2010).

Graf Perbandingan 12: Soalan 12

Berdasarkan graf, aspek yang dilihat ialah keperluan pelajar melibatkan diri secara aktif di dalam kelas sewaktu aktiviti sumbang saran dilaksanakan. Berdasarkan aspek di atas, keperluan pelajar menunjukkan keputusan yang positif. Ujian pra menunjukkan seramai enam orang yakni 33.3% sampel SMK Sri Tapah dan lapan orang yakni 61.5% sampel SMK Tapah berpendapat bahawa pelajar sememangnya perlu terlibat aktif dalam aktiviti sumbang saran manakala, bagi ujian pasca pula terdapat peningkatan persetujuan bagi sampel SMK Sri Tapah, iaitu meningkat kepada 44.4% yakni lapan orang manakala sampel SMK Tapah pula meningkat kepada 69.2% yakni sembilan orang. Penyelidikan kami mendapati dapatan tersebut menyokong kajian yang dilakukan oleh Mahani Razali et.al (2003) yang menyatakan bahawa  teknik sumbang saran perlu dilaksanakan secara aktif kerana teknik ini meningkatkan pemikiran kreatif. Sumbang saran adalah salah satu kaedah untuk menyelesaikan masalah secara berkumpulan. Setiap peserta pula bebas mengeluarkan idea yang kritikal dan asli tanpa sekatan. Idea-idea itu harus diterima dan diperkemas kemudiannya. Perkara yang dicadangkan oleh seseorang pelajar diperkembang oleh pelajar-pelajar lain sehingga idea tadi mengembang ke peringkat yang lebih tinggi (Kamarudin Husin et.al, 2011).

Graf Perbandingan 13: Soalan 13


Berdasarkan graf, aspek yang dilihat ialah keperluan pelajar melibatkan diri secara aktif sekiranya pihak sekolah mengadakan kursus pemantapan diri dalam aktiviti berkomunikasi secara lisan. Berdasarkan aspek di atas, keperluan pelajar menunjukkan keputusan yang positif. Ujian pra menunjukkan seramai enam orang yakni 33.3% sampel SMK Sri Tapah yang bersetuju bahawa pelajar perlu melibatkan diri secara aktif dalam kursus pemantapan komunikasi lisan manakala empat orang yakni 30.8% sampel SMK Tapah bersetuju dengan aspek tersebut. Bagi ujian pasca pula, terdapat peningkatan persetujuan bagi sampel SMK Sri Tapah dan SMK Tapah, iaitu masing-masing meningkat kepada 50% dan 69.2% yakni sembilan orang. Penyelidikan kami mendapati dapatan tersebut menyokong kajian yang dilakukan oleh Dr. Mohd Fadzilah dan Ahmad Naim (2006) dalam kertas kerja Yahya Bin Buntat & Muhamad Shahabudin Bin Hassan (2010) bahawa kepetahan bercakap adalah suatu bakat yang tersendiri, tetapi kemahiran berkomunikasi adalah sesuatu yang perlu dipelajari. Hal ini demikian kerana pelajar perlu mempelajari asas-asas komunikasi yang betul, membuat persediaan dan mengamalkan etika dan adab komunikasi bagi meningkatkan kemahiran komunikasi mereka ke tahap yang lebih baik (Yahya Bin Buntat & Muhamad Shahabudin Bin Hassan, 2010). Pelajar yang tidak mahu meningkatkan kemahiran dalam berkomunikasi pasti akan berdepan dengan masalah seperti kegagalan untuk mencari pekerjaan. Buktinya, Pengarah JobsMalaysia, encik Rahmat Ismail berkata kepada Berita Harian yang bertarikh 20 Disember 2010 sebahagian lepasan IPT mempunyai beberapa kelemahan seperti berkomunikasi dan menyebabkan mereka sukar mendapat pekerjaan. Tidak hairanlah isu pengangguran dalam kalangan lepasan mahasiswa masih berleluasa hingga kini.

Graf Perbandingan 14: Soalan 14



 Berdasarkan pemerhatian terhadap kekerapan guru dalam melaksanakan aktiviti berforum di dalam kelas didapati bahawa sebelum model 3SMP diperkenalkan seramai tujuh atau 38.9 % sampel SMK Sri Tapah dan SMK Tapah menyatakan ketidakpastian mereka sama ada guru kerap atau tidak melaksanakan aktiviti berforum. Selepas model 3SMP diperkenalkan terdapat lapan yakni 44.4 % sampel SMK Sri Tapah dan lima atau 38.5 % sampel daripada SMK Tapah menyatakan bahawa guru kerap melaksanakan aktiviti berforum di dalam kelas. Berdasarkan dapatan kajian bagi soal selidik bagi soalan 15 pula, didapati para pelajar daripada kedua-dua sekolah menyatakan keperluan pembentangan kerja berkumpulan dilaksanakan secara berforum. Hal ini demikian kerana aktiviti berkumpulan memerlukan pelajar-pelajar untuk bekerjasama bagi mencapai tujuan tertentu. Oleh itu, dapatan ini menyokong bahawa wajarlah seseorang guru sering melaksanakan aktiviti berforum di dalam kelas. Menurut Long (2005), salah satu ciri kumpulan ialah sekumpulan individu yang saling berkomunikasi antara sesama ahli kumpulan untuk mencapai tujuan yang sama. Kesediaan pelajar dalam mengambil inisiatif untuk memulakan perbincangan dan seterusnya melakukan perbincangan berada di tahap yang memberangsangkan. Dapatan kajian membuktikan bahawa pelajar mampu untuk memulakan komunikasi dan seterusnya berkomunikasi sesama ahli kumpulan kerana mereka mempunyai tujuan yang sama iaitu menyiapkan tugasan yang diperlukan untuk keperluan kursus. Proses komunikasi akan sentiasa berlaku sepanjang pelajar menjalankan aktiviti secara berkumpulan. Secara keseluruhannya pelajar-pelajar dapat untuk memberi respon, memberikan pendapat dan idea, memberi pandangan dan cadangan bagi aktiviti yang sering mereka lakukan dalam kumpulan.

Graf Perbandingan 15: Soalan 15



Berdasarkan pemerhatian terhadap keperluan pelaksanaan pembentangan kerja berkumpulan secara berforum didapati bahawa tidak ada sampel SMK Sri Tapah yang menyatakan ketidakperluan pelaksanaan pembentangan kerja berkumpulan secara berforum sebaliknya hanya seorang atau 7.8 % sampel daripada SMK Tapah yang menyatakan pelaksanaan pembentangan kerja berkumpulan tidak perlu secara berforum. Keadaan yang sama juga dapat dilihat selepas model 3SMP diperkenalkan. Menurut Abdul Rahman Abdul Aziz (2000), kebolehan komunikasi adalah pencapaian manusia yang paling berharga kerana kebolehan ini telah membolehkan manusia berhubung diantara satu dengan lain. Berdasarkan kenyataan ini, pengkaji ingin mengingatkan pelajar supaya menggunakan aktiviti pembentangan sebagai landasan berharga bagi memupuk kemahiran komunikasi yang berkeyakinan. Didapati hasil dapatan kajian menyokong pendapat Abdul Rahman Abdul Aziz. Oleh itu, peluang ini seharusnya digunakan oleh pelajar untuk memperbaik kemahiran komunikasi dalam pembentangan mereka dan sewajarnya pelajar tidak bersikap sambil lewa ketika melakukan pembentangan. Ini berdasarkan dapatan kajian yang mencatatkan bahawa pelajar tidak cuba mengambil inisiatif penting dalam memperbaik kemahiran komunikasi mereka terutamanya dalam amalan merekod pembentangan yang mereka lakukan bagi tujuan penilaian kendiri.

Graf Perbandingan 16: Soalan 16



Berdasarkan pemerhatian terhadap penekanan guru terhadap pengajaran aspek tatabahasa, intonasi, dan jeda dalam komunikasi lisan didapati bahawa tidak ada sampel SMK Sri Tapah mahupun SMK Tapah yang menyatakan guru tidak ada memberikan penekanan terhadap pengajaran aspek tatabahasa, intonasi, dan jeda dalam komunikasi lisan. Keadaan yang sama berlaku selepas model diperkenalkan. Pada dasarnya seseorang itu berhujah atau berkomunikasi disebabkan hendak mempengaruhi sikap, pemikiran dan tingkah laku individu-individu yang mendengar ucapan (Ainon, 2003). Oleh itu, komunikasi memerlukan strategi dan cara-cara yang berbeza supaya objektif akan tercapai. Dapatan kajian menunjukkan persediaan sebelum pembentangan, penggunaan bahan visual, penghuraian idea, intonasi, penggunaan emosi dan peruntukan masa belum lagi mencapai tahap yang memuaskan. Namun dapatan kajian menyokong pendapat Ainon bahawa aspek-aspek tatabahasa, intonasi dan jeda perlu ditekankan untuk mencapai objektif pembelajaran. Guru perlu membuat persediaan dan mengamalkan etika dan adab komunikasi bagi meningkatkan kemahiran komunikasi mereka ke tahap yang lebih baik.




No comments:

Post a Comment